Friday, December 30, 2011

Ujian Allah Itu 'Tailor-Made'


"Huh? What do you mean?"
"Yalah, macam baju, kalau beli di kedai , tentu takkan mengikut bentuk badan kita yang sebenar.Tapi kalau di'tailor-made'kan, tentulah akan secocok dengan tubuh badan kita, sehingga menepati segala lekuk anggota kita.Ujian Allah itu juga begitu.Ia tailor-made untuk semua hamba-Nya.Tidak ada seorang mendapat ujian yang sama."
"Untuk apa Allah beri kita semua ini?" Begitu tanyaku pada seorang saudara perempuanku yang amat berhikmah.
"Kerana, ramai orang akan terkesan dengan tarbiyah peristiwa, yang Allah dah aturkan untuk dirinya. Lain orang, lain ujiannya, dan kesemua itu Allah datangkan untuk memperbaiki diri kita dan menjadikan diri kita lebih baik dari sebelum ini."
Dia meneruskan.''Allah akan berterusan memberikan ujian sehinggalah pada satu masa, hamba-Nya itu takkan dapat minta pertolongan pun daripada manusia. Dan semua manusia takkan dapat menolong dia pun. Sehinggalah hamba-Nya itu akan hanya berpaling dan meminta pertolongan dari Dia sahaja.''
Begitulah jirusan taujihatnya kepadaku.
Dan dia berbicara sambil mengenangkan juga ujian yang dihadapinya, walaupun tidak dikongsikannya kepadaku. Dan kami tahu, betapa ramainya lagi akhawat yang menanggung ujian yang bukan sedikit, semenjak berkenalan dengan bumi dakwah yang sebenar yakni bumi Malaysia.
Sehinggakan Allah, mahu kita muhasabah balik diri kita, dan betulkan semula niat kita, setiap kali kita melangkah.Benarlah, ujian Allah pada setiap seorang dari kita adalah 'tailor-made'.Engkau dan aku, ujian kita tidak akan sama.Sebab Allah, nak memperbetulkan kelemahan kita itu.Selagi mana kita masih ada kelemahan, ataupun terjebak dengan dosa, Allah akan datangkan ujian, yang menyingkapkan kelemahan kita. Agar kita kembali kepada Dia dengan memperbetulkan diri kita dan menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam.
Selagi mana kita tidak mempertingkatkan selagi itu Allah akan uji pada titik kelemahan kita.
Subhnaallah.

"Bagaimana Melihat Dari Perspektif Pelanggan"


Antara perkara terpenting bagi seseorang usahawan adalah apabila berkomunikasi dengan orang lain. Secara umum, kita akan membiarkan kita berkomunikasi secara automatik dan kita akan belajar dari kegagalan ini (namun ada ketika kita tidak pernah belajar).
Contohnya, apabila anda menghubungi seseorang pelanggan anda untuk mempromosikan perniagaan anda. Anda akan call dan terus bercakap seperti biasa. Contohnya "Hello, nama saya SJ, saya nak promosikan perniagaan saya iaitu... bla bla bla"
Kemudian anda akan cuba lagi dengan kaedah yang sama dengan pelanggan lain. Akhirnya jika 20% dari panggilan itu berjaya, anda akan cuba mengubah sedikit cara panggilan atau teruskan dengan cara biasa kerana anda sudah berpuashati dengan 20% ini.
Namun sebenarnya anda boleh meningkatkan keberkesanan panggilan ini jika anda lebih prihatin dan melihat dari kaca mata pelanggan. Maksud saya, anda boleh dapat keputusan positif yang lebih dari 20% jika anda berusaha.
Bagaimana ?
Tips utama adalah, jika anda ingin menghubungi seorang pelanggan untuk mempromosikan perniagaan anda. Anda perlu pandang dari aspek pelanggan tersebut dan bukan dari aspek anda.
Saya biasanya akan melakukan beberapa sesi dialog dalam kepala tentang bagaimana untuk bercakap dalam bahasa yang sama dengan pelanggan tersebut. Ini dilakukan sebelum membuat panggilan. (ini hanya memakan masa beberapa minit, lama-kelamaan anda akan melakukannya secara spontan)
Contohnya
Kaedah A : "Assalamualaikum, saya SJ dari syarikat xx, kami ingin menjual produk kami iaitu Pen Membaca Quran..."
Kaedah ini sama seperti apa yang dilakukan oleh salesman insuran atau kad kredit lain. Jadi pelanggan akan mengelak untuk bercakap lebih lanjut sebelum anda nyatakan apa perniagaan anda.
Kaedah B : "Assalamualaikum, saya SJ, saya dapat nombor ini dari Si A, kami nak jual Pen Membaca Quran yang terbaru di pasaran."
Kaedah ini lebih baik daripada kaedah A, tetapi masih nampak seperti anda yang ingin pembeli membantu anda, bukan anda yang membantu pembeli.
Kaedah C : Assalamualaikum, saya SJ, saya ada produk yang akan menyelesaikan masalah pembacaan Al-Quran yang canggih dan terbaik di pasaran. Anda mungkin takkan percaya, ini adalah sebatang pen teknologi tinggi yang membantu anda membaca Quran.
Kaedah ketiga mungkin kaedah yang terbaik kerana ia akan menyebabkan pelanggan tertanya-tanya apakah produk ini. Dan anda juga menerangkan mengenai masalah yang diselesaikan dan nilai tambah yang diberi.
Apa yang saya cuba terangkan di sini adalah:-
1. Anda perlu melakukan satu mock-up persediaan A, B dan C seperti di atas tentang senario yang anda bakal hadapi. Setiap pelanggan adalah berbeza samada dari segi umur, kerjaya, bangsa, kewangan dan lain-lain. Jadi lebih tepat anda bercakap dengan mereka, lebih tinggi kebarangkalian anda untuk membuat jualan.
2. Anda perlu fokus kepada masalah yang akan dapat diselesaikan melalui produk anda. Setiap orang suka apabila masalah yang mereka ada diselesaikan. Dan fakta yang lebih seronok, semua orang ada masalah untuk diselesaikan.
3. Anda perlu fokus kepada nilai tambah yang akan diberikan oleh produk anda dalam hidup pembeli. Setiap yang hidup inginkan pembangunan atau nilai tambah dalam hidup mereka. Kebanyakan pembeli membeli produk untuk menjadi lebih baik dari apa yang mereka sedia ada. Kita beli telefon bimbit canggih untuk mendapat nilai tambah, kita membeli buku untuk mendapat nilai tambah, kita membeli kereta pun untuk mendapat nilai tambah.
Semakin hari anda melatih kaedah ini, anda akan melihat kejayaan jualan anda akan bertambah dan anda akan membuang perkara tidak perlu dalam apa yang anda cakap. Anda juga akan bercakap dengan bahasa yang betul mengikut kaca mata pelanggan anda.


Dengan tiga kaedah ini, anda akan melatih otak anda untuk berfungsi dengan baik terhadap pelanggan dan ini akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan jualan anda.
Kaedah ini juga boleh digunakan untuk bercakap dengan orang yang selain dari pelanggan anda seperti apabila bercakap dengan boss, rakan sekerja, pembekal atau wartawan.
Ingat
1. Buat mock-up dialog
2. Fokus untuk selesaikan masalah
3. Fokus untuk menambah nilai


"Dunia Atau Akhirat?"


Pada zaman moden kini, ramai yang telah lupa tanggungjawab masing-masing sebagai manusia terutamanya remaja. Mereka terlalu lalai dengan duniawi sehingga melupakan tugas mereka di dunia ini sebagai pengembara sehingga lupa kepada pencipta mereka sendiri iaitu Allah S.W.T.
1) WAKTU
Manusia sentiasa menjaga atau lebih tepat lagi menepati waktu mereka sesama manusia.
Di mana mereka cepat menggelabah apabila tidak dapat menepati waktu yang di janjikan dengan orang sekeliling kerana khuatir di kenali sebagai seorang yang tidak menepati masa.
Sebaliknya, manusia tidak menjaga waktu mereka dengan Allah S.W.T.
Manusia tidak menjaga waktu solat. Di mana mereka sering melambatkan waktu solat. Kebanyakan manusia suka menunaikan solat di akhir waktu.

2) PATUH KEPADA PERINTAH
Manusia sentiasa patuh kepada perintah manusia.
Kekasih patuh kepada kepada pasangannya sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya demi cinta.
Sebaliknya, manusia tidak patuh kepada Allah S.W.T.
Lelaki dan perempuan tidak patuh kepada perintah Allah S.W.T di mana Allah S.W.T mewajibkan supaya menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga ada yang terjerumus ke dalam maksiat dan mengakibatkan lahirnya anak di luar nikah.
"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya."(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

3) MENGHORMATI PENDAPAT/KEPUTUSAN
Manusia menghormati pendapat orang di sekeliling.
Rakan menghormati pendapat rakan yang lain kerana khuatir akan membuatkan rakan yang memberi pendapat akan berkecil hati.
Sebaliknya, manusia tidak menghormati keputusan Allah S.W.T.
Manusia mudah kecewa, sedih apabila tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Mereka menganggap hidup tidak sempurna dan bernasib malang.
Sedangkan manusia tidak pernah tahu bahawa Allah S.W.T punya sejuta alasan di atas segala yang berlaku dalam kehidupan manusia. Tetapi manusia tidak sedar bahawa Allah S.W.T lebih berkecil hati dengan tindakan kita yang memperkecilkan kebesaran-Nya.
"Allah S.W.T tidak memberikan apa yang kita inginkan dalam hidup, tetapi Allah S.W.T memberikan apa yang kita perlukan dalam hidup."

4) SABAR
Manusia sentiasa sabar dengan manusia lain.
Manusia sabar dengan kerenah manusia lain sehingga sanggup bersabar semampu mungkin demi menjaga hubungan.
Sebaliknya, manusia tidak sabar dengan Allah S.W.T.
Manusia tidak bersabar sedikit pun akan ujian yang Allah S.W.T berikan. Manusia cepat berputus asa kerana merasakan penantian untuk memperoleh sesuatu terlalu lama.
Ingatlah bahawa ada hikmah di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang kita hadapi. Sebenarnya Allah S.W.T hendakkan hamba-Nya kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita semakin jauh, lalai dan lupa kepada-Nya.

5) HUBUNGAN
Manusia sentiasa menjaga hubungan mereka sesama manusia.
Mereka menziarahi jiran tetangga, sanak saudara, menjaga hubungan dengan semua di dalam laman sosial seperti facebook, myspace, tagged dan juga twitter.
Sebaliknya, manusia tidak menjaga hubungan mereka dengan Allah S.W.T.
Manusia leka dengan duniawi untuk perkara yang tidak berfaedah seperti laman sosial (facebook, myspace, tagged dan juga twitter) sehingga mengabaikan solat lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Islam.
Sedarkah kita bahawa hubungan dengan Allah S.W.T lebih penting berbanding hubungan dengan manusia?
Kerana manusia boleh meninggalkan manusia untuk manusia yang lain tetapi Allah S.W.T tidak akan pernah sesekali meninggalkan hamba-Nya walaupun sebesar mana dosa yang diperbuat oleh hamba-Nya.
Jadi, dimanakah kedudukan kita sebagai manusia?
Di kedudukan MANUSIA+MANUSIA ataupun MANUSIA+ALLAH?
Renungkanlah.

"13 Alasan Tipikal Wanita Yang Enggan Menutup Aurat"

Pernah nasihat atau tegur kawan-kawan anda yang tidak menutup aurat? Jom kita tengok apakah alasan yang selalu digunakan wanita yang enggan menutup aurat apabila ditegur kesalahan mereka itu. Dan apa jawapan yang mungkin sesuai untuk mereka.



1. Semua yang tutup aurat, confirm masuk syurga ke?
  • Yang pasti, kalau tak tutup aurat, confirm masuk NERAKA..Nauzubillah
2. Tudung labuh pun macam baik sangat. Buat dosa jugak. Mengumpat orang.
  • Bila Iblis tak mahu ikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu. “Apahal pulak aku kena sujud, aku lebih baik dan mulia”. Samalah seperti tudung. Tudung pula yang disalahkan, ” pakai tudung tak mestinya baik..bla…bla…bla…”
3. Macamlah kau bagus sangat nak tegur aku. Kau dulu lagi jahat nak mampos.
  • Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Maksudnya, dakwah itu tuntutan. Selagi kau Islam, dakwah tu wajib walaupun kau sendiri tak berapa betul. Sekurang-kurang dia insaf dan bertaubat sekarang.
4. Walau kami pakai seksi tapi hati kami baik.
  • Adakah kau mendakwa diri kau mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri kau tanpa perlu menutup aurat?
5. Pakai jarang ke ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok.
  • Adakah kau berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?
6. Kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami.
  • Seksi atau tidak, kau tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut kau.
7. Walau kami tak bertudung, kami tetap solat dan puasa.
  • Apakah ibadat kau diterima? Kau yakin cuma dengan berpuasa sudah cukup untuk menjamin kau masuk syurga?
8. Suka hati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.
  • Kau sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik, suami serta orang lain dengan menarik mereka ke neraka bersama kau disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kau.
9. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan ALLAH.
  • Berani cakap di dunia, berani ke kau cakap macam tu depan Allah nanti? Lawan perintah Allah, Neraka tempatnya.
10. Kami pakai seksi macam ni, sebab ikut arahan photographer/pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene. (ayat artis)
  • Sanggup patuh arahan mereka daripada patuh suruhan Allah?
11. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.
  • Mati tidak mengenal usia. Tak takut ke mati dalam usia muda? Tak sempat nak bertaubat nanti.
12. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la..
  • Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, tunggu kejap! Lepak la dulu. Jangan ambil lagi nyawa aku.
13. Tutup aurat tu bagus tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya.
  • Kalau begitu kau sebenarnya memang hipokrit kerana tidak ikhlas beragama Islam.“Wahai wanita, setiap ciptaan tuhan yang berharga di dunia ini akan terlindung dan amat sukar untuk diperolehi. Di mana kamu boleh dapatkan permata? Tertanam jauh di perut bumi, tertudung dan dilindungi. Dimana kamu jumpa Mutiara? Terbenam jauh di dalam lautan, tertudung dan dilindungi oleh kulit kerang yang cantik. Di mana kamu cari emas? Terperosok di lapisan bumi tertudung dengan lapisan demi lapisan tanah dan batu. Tubuh kamu adalah suci malah lebih berharga daripada emas mahupun permata. Oleh itu kamu juga perlu bertudung dan melindungi diri kamu.”

Thursday, December 29, 2011

"Insan Datang Dan Pergi"


Sepanjang hidup kita, tidak terkira insan-insan yang hadir dan yang pergi. Ada yang hadirnya hanya seketika seperti bayu. Dia datang dan pergi begitu sahaja tanpa terkesan apa-apa dan mungkin kita tidak perasan pun akan kehadirannya, begitu juga dengan dia.
Ada pula yang datang dan begitu setia dengan kita tetapi kita tidak rasa pun kepentingan dirinya untuk terus bersama kita. Malah kadangkala mungkin kita rasa lebih baik dia tidak wujud daripada dia tidak memberi apa-apa manfaat untuk kita sehinggalah dia pergi buat selama-lamanya.
Ketika itulah baru kita rasa betapa dia sangat penting untuk kita. Pada masa itu, baru kita perasan kebaikan yang dia pernah buat untuk kita atau untuk insan-lain lain di sekeliling kita.
Pada masa itu juga, sudah tidak guna kita menangis kekesalan kerana tidak menghargai kewujudannya. Hanya doa dapat kita hadiahkan agar dirinya dirahmati di alam sana.
Ada pula yang sentiasa di sisi kita. Di saat kita susah dan juga senang. Dia sanggup buat apa sahaja untuk kita. Namun bagi kita, dia tidak lebih daripada tempat untuk meluahkan perasaan, tempat yang kita cari apabila menghadapi masalah tetapi di saat kita bahagia atau berjaya, kita seakan-akan terlupa akan kewujudannya.
Namun dia masih setia. Bila-bila masa sahaja kita cari dia, dia pasti ada untuk kita tetapi kita perlu tahu, dia juga manusia. Mungkin dia pernah makan hati dengan sikap kita. Cuma di hadapan kita, dia mungkin cuba sembunyikan perasaan itu sebaik mungkin.
Seandainya kita masih dungu, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan membawa diri meninggalkan kita. Oleh itu, hargailah kewujudannya selagi mana dia masih di sisi kita.
Ada pula yang hadirnya berbeza dengan apa yang kita duga. Mungkin kita rasa dekat sangat dengannya membuatkan kita rasa mahu sahaja selalu bersama dengannya tetapi kita tidak tahu dalam hati dia mungkin dia rimas dengan kita. Kadangkala kita dapat capai dan genggam tangannya, tetapi belum tentu hati dia, kita dapat selami.
Mungkin kadangkala kita dapat melihat dia ketawa, tetapi kita tidak tahu apa makna disebalik senyumannya. Mungkin dia memang tidak suka berkongsi duka dengan sesiapa atau dia sememangya dia tidak percayakan kita.
Apabila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak disenangi dan mungkin juga secara tidak sedar kitalah sebenarnya yang membuatkan dia menangis. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu sedar, sebenarnya kehadiran kita banyak menyusahkan hidupnya. Kita perlu faham dia mungkin tidak sampai hati untuk memberitahu kita supaya meninggalkannya dan jangan menyusahkan hidupnya.
Ada juga yang hadirnya memberikan sinar dalam hidup kita. Apabila berada bersamanya kita rasa begitu tenang dan kita rasa tidak mahu berpisah dengannya. Kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat bersamanya. Kita jaga hati dia agar dia tidak terluka. Kita sanggup jadi tempat dia meluahkan segala masalah dia.
Kadangkala kita sendiri tidak sedar yang kita telah menjadi seorang yang sangat baik apabila bersama dengannya tetapi akhirnya, tanpa sebarang sebab, tiba-tiba kita ditinggalkan. Kadangkala kita langsung tidak faham dan tertanya-tanya, kenapa kita ditinggalkan?
Kita rasa kita sudah lakukan yang terbaik untuknya tetapi masih ditinggalkan. Kesannya mungkin sangat mendalam kerana kehadirannya benar-benar bermakna dalam hidup kita. Dalam keadaan ini, kita mungkin akan berubah sepenuhnya. Hati kita cukup terluka sehingga tidak sanggup untuk membuka hati kita untuk kehadiran insan lain.  Kita juga tidak akan mendengar apa sahaja nasihat daripada insan-insan lain di sekeliling kita, hanya masa yang dapat menyembuhkannya.
Ada pula yang hadirnya menyembuhkan luka kita. Hadirnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kita agar meneruskan kehidupan. Dia umpama pakar kaunseling untuk kita. Dia banyak mengingatkan kita, menyedarkan kekurangan kita dan mengubah tabiat buruk kita yang mungkin menjadi penyebab kenapa kita ditinggalkan.
Secara tidak sedar, kita sudah pulih daripada luka lama di atas nasihat dan sokongan darinya. Pada pandangannya, mungkin dia ingat kita sudah boleh berdiri sendiri dan mungkin dia rasa kita dah betul-betul pulih. Lalu dia meninggalkan kita.
Bagi kita pula, selama ini kita harapkannya akan terus bersama dengan kita. Kita hanya kuat apabila dia ada bersama kita, sedangkan dia tidak tahu sebenarnya segala kekuatan dan ketabahan itu ada bersamanya. Apabila dia pergi, maka hilanglah kekuatan itu dan kita terus mencari diri. Terasa sudah tidak percaya lagi kepada sesiapa pun, terasa ingin hidup sendiri, berdikari dan tidak mahu bergantung hidup pada sesiapa pun.
Tanpa kita duga atau tanpa kita harapkan ada pula insan yang sebelum ini pernah meninggalkan kita kembali semula ke pangkuan kita. Namun hati kita sukar kita fahami. Mungkin dengan senang hati kita dapat terima dia semula atau mungkin juga kita tidak dapat terima dia kerana sememangnya kita tidak pernah maafkannya kerana meninggalkan kita.
Dalam hati kita meraung dan bertanya, kenapa baru sekarang, bukan tiga atau empat tahun dahulu?
Mungkin juga hati kita dah tersangat keras atau sudah mati. Hati kita sudah tidak dapat terima dia lagi walaupun kita sudah memaafkannya lama duhulu. Mungkin juga dengan kehadirannya semula membuatkan hati kita yang masih berparut kembali terluka kerana dengan kehadirannya menjadikan kita ingat semula kedukaan lalu yang sebelum ini sudah terpadam dalam memori hidup kita.
Begitulah rencah dunia, kita tidak akan tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai satu masa kita jatuh. Adakah tangan itu akan menghulurkan bantuan atau kita akan ditinggalkannya.
Kita tidak perlu risau memikirkan tangan mana yang akan menghulurkan bantuan dan tangan mana yang akan berpeluk tubuh dan seterusnya meninggalkan kita di saat kita sangat-sangat memerlukannya kerana apabila kita ikhlas menghulurkan tangan tidak kira kepada sesiapa pun, pasti akan ada tangan lain yang akan menghulur di saat kita memerlukan biarpun tangan tersebut bukanlah tangan yang pernah kita bantu dahulu.
Oleh itu, lebih baik kita bersifat ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Berharaplah hanya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Kita juga perlu sentiasa ingat, hidup kita sentiasa berputar. Jika kita pernah meninggalkan seseorang atau melukakan hati seseorang, tidak mustahil kita juga akan dilukai dan ditinggalkan suatu hari nanti dan mungkin kita akan dapat yang lebih teruk daripada apa yang pernah kita lakukan pada orang lain.